Isnin, 14 Mei 2012

Ganti Majlis Peguam

KUALA LUMPUR 13 Mei - Beberapa lagi ahli Majlis Peguam meminta dipercepatkan penubuhan Akademi Undang-Undang sebagai badan alternatif kepada Majlis Peguam kerana badan yang ada sekarang telah menyimpang jauh daripada peranan sebenar menjaga profesionalisme amalan guaman di negara ini.
Peguam, Nordin Yusoff berkata, satu badan alternatif diperlukan kerana Majlis Peguam telah tersasar daripada tanggungjawab utama untuk menjaga kebajikan peguam dan memartabatkan profesion undang-undang di negara ini.
Katanya, keputusan terburu-buru Majlis Peguam mengeluarkan resolusi menghentam Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perhimpunan haram Bersih 3.0 bulan lalu merupakan bukti jelas pertubuhan itu telah menjadi perkakas politik terhadap pihak yang berkepentingan.
“Saya menyokong cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang kerana ia telah pun dilakukan di Singapura dengan Ketua Hakim Singapura mengetuainya dan majlis peguam di negara itu terletak di bawah akademi tersebut.
“Saya difahamkan draf undang- undang bagi cadangan penubuhan akademi undang-undang pernah dikemukakan di negara ini tetapi ditolak sekeras-sekerasnya oleh Majlis Peguam yang masih mahu memonopoli amalan guaman," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz bersetuju dengan tuntutan golongan peguam yang mahu membentuk organisasi baru bagi mempertahankan profesion, kebajikan dan kepentingan guaman.
Jelas Nordin, menerusi Akademi Undang-Undang, Majlis Peguam atau persatuan-persatuan peguam lain boleh tertakluk di bawah akademi tersebut bagi memastikan ketelusan dan integriti amalan guaman di negara ini terjamin.
Katanya, dalam banyak perkara, Majlis Peguam telah dilihat membuat keputusan yang berat sebelah dan membelakangkan pandangan majoriti kira-kira 14,000 ahli majlis tersebut di seluruh negara.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut bersetuju dengan penubuhan akademi itu untuk mengelakkan amalan birokrasi dan monopoli di dalam Majlis Peguam.
‘‘Di Malaysia, hanya ada satu Majlis Peguam yang memonopoli semua perkara dan ia dikawal oleh kelompok orang tertentu.
‘‘Bukan saya hendak menafikan usaha-usaha perjuangan hak asasi manusia yang dilakukan Majlis Peguam tetapi kalau kita lihat di Singapura, Majlis Peguam di sana lebih banyak dan ke hadapan dalam menjaga hal-hal kebajikan para peguam,’’ katanya.
Katanya, jika dinilai amalan di United Kingdom pula, peguam di negara tersebut boleh memilih untuk menganggotai mana-mana empat persatuan peguam di negara berkenaan.
‘‘Hendak atau tidak, peguam di Malaysia terpaksa menjadi ahli Majlis Peguam untuk mengamalkan profesion undang-undang sedangkan banyak pandangan yang dikeluarkan pertubuhan itu yang kita tidak sependapat terutamanya membabitkan isu-isu Islam,’’ katanya.
Jelas Zainul, sebagai alternatif lain, terdapat juga negara yang persatuan peguamnya diterajui sendiri oleh Peguam Negara.
Sementara itu, menurut seorang lagi peguam, Abu Backer Sidek berkata, beliau menyokong agar badan alternatif kepada Majlis Peguam diwujudkan untuk membolehkan peguam mengamalkan profesion undang-undang secara lebih profesional tanpa elemen politik tertentu.
‘‘Saya sudah pun mengusulkan cadangan untuk menubuhkan Majlis Peguam Persekutuan Malaysia (MPPM) dan menerusi pertubuhan ini, ahlinya perlu bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.
‘‘Saya sebenarnya tidak boleh lagi bersabar dengan pandangan Majlis Peguam yang menyokong perhimpunan Bersih dan banyak lagi perkara lain yang tidak semua majoriti ahli Majlis Peguam bersetuju,’’ katanya.
Katanya, orang ramai boleh mengutarakan pendapat bagi cadangan penubuhan badan alternatif MPPM tersebut di laman web http://www. mppm2012.blogspot. com.

Utusan Malaysia